'Dipandang hina' -Wanita ini kongsi pengalaman duka sebagai pesakit COVID-19..

Saturday, April 4, 2020 Malaysia

Wabak ini sememangnya sangat digeruni oleh masyarakat global kerana ia sangat mudah dijangkiti, malah masih belum ada sebarang ubat-ubatan khusus yang mampu merawatnya.

Kisah ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook yang bernama Qalbie Ghani. Apa yang mengagumkan, wanita ini telah membuat catatan satu persatu peristiwa serta perjalanannya sebagai pesakit COVID-19 selama 15 hari.

*******

15 hari sebagai pesakit COVID-19..

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mungkin ramai yang terkejut dengan tajuk di atas. Tak ramai yang tahu. Saya hanya bagitahu dekat ahli keluarga dan rakan-rakan rapat sahaja. Bukan apa, emosi sedikit terganggu 2 minggu kebelakangan ini. Jika yang tanya 'macam mana boleh kena COVID-19'. Ini saya bagitahu secara detail.

Awal bulan Mac ada beberapa orang jemaah tabligh Thailand yang berkunjung ke surau berdekatan rumah. Abah memang sering ke surau tersebut. Disebabkan abah pun dah mula menyertai tabligh, maka abah suka bercampur dengan jemaah-jemaah yang datang ke surau ini. Abah pun ada beberapa kali membantu mereka sepanjang mereka berada disini.

Hari terakhir jemaah di surau sini, abah telah menumpangkan mereka dan menghantar mereka ke surau berikutnya iaitu di Wakaf Che Yeh.

Dua hari selepas itu abah sakit tekak. Keesokan harinya abah demam dan mula hilang selera makan. Pada masa itu sedang kecoh jemaah tabligh Brunei yang positif COVID-19 setelah pulang dari Sri Petaling.

Malam itu aku terlintas untuk tanya abah dan abah akui ada salah seorang dari jemaah Thailand yang datang hari itu tidak sihat. Selain itu juga mereka baru pulang dari Sri Petaling. Ummi berkeras menyuruh abah pergi ke klinik.

Jumaat.. Abah pergi ke Klinik Kesihatan Kota Bharu (KKB). Doktor bagitahu untuk buat saringan COVID-19 tidak ada di KKB memandangkan ianya hari jumaat. Doktor minta abah hadir kembali pada hari Ahad dan abah akan dibawa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa untuk saringan covid.

Petang Jumaat ummi pula start demam. Aku dan adik, Yus dah risau. Aku minta Yus bawa ummi ke KKB esok hari nya.

Sabtu.. Ummi ke KKb bersama Yus. Doktor cuma bekalkan ubat demam, selesema dan batuk. Ummi dan abah ambil ubat secara konsisten.

Ahad.. Abang Sham (abang ipar) bawa abah ke klinik. Ummi semakin sembuh dari demam. Tengah hari setelah balik dari klinik selepas buat ujian saringan covid, abah mula asingkan diri dari kami. Abah banyak menghabiskan masa di rumah sebelah (rumah yang kami jadikan homestay) 

Isnin... Ummi dah tak demam. Abah makin hilang selera makan.

Selasa.. Aku berada diluar rumah dan mendapat panggilan daripada Yus mengatakan abah positif COVID-19. Yus minta aku balik segera untuk membuat saringan kerana kami adalah kontak rapat abah.

Dibawah adalah catatan jurnal dari hari pertama sehingga kami discaj dari hospital. Pada awal abah disahkan positif COVID-19, berita tentangnya viral satu kampung tak sampai 2 jam. Kami yang menunggu giliran untuk membuat saringan dah rasa tertekan. Orang-orang kampung memandang hina, jijik kepada kami sekeluarga. Sedangkan apa yang terjadi bukanlah kami cari. Pada masa inilah baru kenal yang mana benar-benar ikhlas dan yang mana berpura-pura.

SELASA 17/3/20
Abah positif covid. Ambulans datang ambil abah jam 11pagi. Petang ujian saringan sekeluarga di Klinik Kesihatan Perol

RABU 18/3/20 (DAY 1)
5petang aku, ummi, Yus dan Kim disahkan positif covid. Jam 8malam warded di Hospital Tumpat. Malam-ambil darah.

KHAMIS 19/3/20 (DAY 2)
Ambil darah. Ummi on oxygen sebab pernafasan tidak bagus. Doktor nak hantar ummi ke HRPZ Kota Bharu. Jam 2 petang ummi transfer ke HRPZ. Sempat berikan kata -kata semangat untuk ummi. Malam start ambil ubat, 2biji sekali telan dan diambil dua kali sehari. Cuba hubungi telefon ummi tapi tidak berjawab.



JUMAAT 20/3/20 (DAY 3)
Tak ambil darah. Cuba lagi hubungi ummi tapi tidak berjawab. Petang -dapat panggilan dari ummi, rupanya ummi tidak dihantar ke HRPZ kerana wad penuh. Ummi dihantar ke Hospital Kuala Krai. Doktor hubungi abah mengatakan ummi dalam keadaan kritikal dan doktor nak bagi pernafasan mesin.

SABTU 21/3/20 (DAY 4)
Ambil darah. Keadaan ummi masih sama.

AHAD 22/3/20 (DAY 5)
Tak ambil darah, dapat berita ummi stabil. 3 hari sebelum ini doktor tiarapkan ummi untuk cantikkan pernafasan dan paru-paru. Hari ini ummi dah boleh baring macam biasa. Alhamdulillah.

ISNIN 23/3/20 (DAY 6)
Tak ambil darah.
Keadaan ummi stabil dan masih intubed.

SELASA 24/3/20 (DAY 7)
Tak ambil darah dan genap seminggu.

RABU 25/3/20 (DAY 8)
Ambil darah, keadaan ummi masih sama cuma ada sedikit jangkitan kuman pada paru-paru.

KHAMIS 26/3/20 (DAY 9)
Tak ambil darah. Keadaan ummi masih sama. Doktor kembali tiarapkan ummi sebab paru-paru tidak berapa stabil apabila dibaringkan.

JUMAAT 27/3/20 (DAY 10)
Keadaan ummi stabil. Doktor akan cuba baringkan ummi esok. Buah pinggang ummi ada masalah sedikit. Mungkin esok mula dialisis. 

SABTU 28/3/20 (DAY 11)
Tak ambil darah. Tak ada x-ray. Perkembangan ummi, doktor dan mula baringkan ummi kembali. Darah ummi ada sedikit jangkitan. Doktor tambah 1 lagi jenis ubat untuk jantung. Buah pinggang akan dialisis, kalau tak petang ni mungkin esok. Doktor kata terpulang kepada ummi. Kalau ummi kuat lawan, virus tu dapan dilawan.

ADA 29/3/20 (DAY 12)
Ambil darah. Swab test pertama dalam wad dan x-ray. Ujian saringan kedua untuk family di Klinik Kesihatan Perol. Semoga semua keputusan negatif. Petang kak long dapat call dari HKK. Keadaan ummi semakin okay. Penggunaan oxygen 40% dan buah pinggang dah dialisis petan semalam.

ISNIN 30/320 (DAY 13)
Pagi doktor call untuk tanya tahap kesihatan. Secara overall semua semakin baik. Tiada selesema tiada batuk, tiada cirit-birit, tiada demam, makan berselera. Keputusan swab test belum keluar. Kalau result negatif insy-allah boleh dicharged. Tengah hari adik Kimi dah buat swab test. Yus dah tak x-ray petang dan selesai swab test.

Perkembangan ummi. Tengah hari - jantung kami umpama berhenti berdenyut seketika bila dapat call dari kak long (sambil menangis) bagitahu dia dapat call dari doktor HKK minta waris ummi ke sana segera sebab pagi ni result darah ummi tidak cantik dan kaki ummi sejuk. Lepas zohor, abah, kak long dan Epu ke sana. Sepanjang waktu menunggu berita, dunia kami terasa kosong. Doa, selawat dan zikir dan henti dari mulut kami.

Kami paksa diri untuk telan nasi sebab ingatkan pesan abah, jangan biarkan perut kosong. Tambahan pula hari ini kami discharged setelah 13 hari warded. Dalam pukul 3 lebih dapat whatsapp daripada kak long yang ummi telah stabil. Alhamdulillah syukur..

SELASA 31/3/20 (DAY14)
Pagi- doktor call maklum darah okay, x-ray paru-paru pun dah okay. Sejak petang semalam, dah tambah satu lagi jenis ubat. Tunggu reslut swab test untuk selanjutnya. Keadaan ummi tiada perubahan. Stabil. Malam kaklong call yang HKK akan update keadaan ummi petang esok. Hari ni ummi bergantung sepenuhnya pada mesin. Tiada respon bila doktor cek mata. Doktor minta bersedia untuk sebarang kemungkinan. 

RABU 1/4/20 (DAY 15)
Okay, dah start stress. Doktor call dan bagitahu nak ambil darah dan x-ray pagi ini. Merayu dengan doktor nak balik. Doktor suruh tunggu result then tengok kata pakar. Ya Allah! tak athu nak gambarkan perasaan ketika ini. Air mata tak berhenti mengalir, doa dan ingatan pada ummi tak putus-putus. Jam 3petang adik Kimi discharged. Alhamdulillah. 4.30petang aku dan Fairuz (adik) pula discharged. Alhamdulillah. Syukur Ya Allah.

Hari ini Khamis 2/4/20 dapat call daripada hospital dan keadaan ummi masih belum stabil. CT scan yang dilakukan menunjukkan brain death. Lampu disuluh ke mata ummi pun tiada tindak balas. Ya Allah! beratnya ujian mu ini. Abah pesan, kami perlu redha dan bersedia dengan apa yang bakal terjadi. Untuk sesiapa yang mengenali ummi saya, maafkan beliau jika ummi ada buat salah menyinggung perasaan sesiapa tanpa beliau sedari. Sudilah kiranya anda titipkan doa buat Azizah Binti Minah. 

Maaf andai penulisan ini terlampau panjang, banyak kesalahan tatabahasa dan ejaanya. Maaf andai selepas ini ada yang menghubungi saya secara personal tidak dibalas kerana emosi kami belum stabil sepenuhnya. Ummi, Bie rindu.......sangat sangat ummi :'(......

***********************
sumber fb Qalbie Ghani

Post a Comment

Latest Instagrams

© Fana Halim. Design by FCD.